fb fb fb fb fb

Salah seorang suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram diarah rujuk hospital

FOTO FAIL

JOHOR BAHRU, 31 Julai - Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini memerintahkan salah seorang daripada lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, 17 Mei lalu untuk menjalani pemeriksaan di hospital akibat kemurungan.

Hakim Rasidah Roslee memerintahkan tertuduh Mariah Radin Imran, 19 tahun supaya mendapatkan pemeriksaan di hospital tanpa gagal yang diuruskan Jabatan Penjara Simpang Renggam.

Peguam mewakili kesemua tertuduh Faizal Rahman, memohon agar anak guamnya, Mariah mendapatkan rawatan kerana mengalami gejala kemurungan dalam pertemuan mereka bulan lepas. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Unit Jenayah Berat Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara Fazeeda Faik.

Hakim turut memerintahkan pihak pendakwaan melengkapkan laporan pakar keganasan sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 2 September depan.

Pada 19 jun lalu lima sekeluarga itu didakwa di mahkamah sama atas sembilan pertuduhan berasingan termasuk menggalakkan perbuatan pengganas, dengan menanam fahaman kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

TETITIA YUSOFF