fb fb fb fb fb

Polis Marin tumpas sindiket seludup diesel 12,000 liter ke negara jiran

Minyak diesel akan dipindahkan dari satu bot nelayan ke bot nelayan yang lain sebelum disyaki dijual ke negara Thailand melalui transaksi di tengah laut/Foto PPM

LANGKAWI, 10 Januari - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak diesel dianggarkan bernilai RM845,300 dipercayai untuk pasaran negara jiran baru-baru ini melalui Ops Taring Landai.

Pemangku Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin, Penolong Penguasa Polis (ASP) Mohd Rudzuan Ahmad berkata, pihaknya menahan lima lelaki, termasuk seorang warga Thailand, di sebuah pelantar di Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah.

"Tangkapan dan rampasan dilakukan ketika suspek sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel tanpa permit dan dokumen yang sah pada 8 Januari lalu, kira-kira pukul 10.00 malam.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan memindahkan minyak diesel dari satu bot nelayan ke bot nelayan yang lain sebelum disyaki dijual ke negara Thailand melalui transaksi di tengah laut," katanya.

Hasil operasi tersebut, PPM Wilayah 1 Langkawi merampas 12,000 liter minyak diesel, dua buah bot nelayan kelas C, tiga batang hos paip minyak diesel, satu pam minyak jenis 1.5 ZDK-20, dan satu meter minyak.

Kesemua suspek yang berusia antara 33 hingga 68 tahun telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN KSH) Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

GRACE AISYAH KEDAYAN