fb fb fb fb fb

Polis akan ambil keterangan ibu bapa, jiran Zayn Rayyan

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Fakhrudin Abdul Hamid (dua, kanan ) melihat plan kawasan perumahan Flat Idaman Damansara Damai ketika PDRM bersama penduduk melakukan operasi mencari Zayn Rayyan semalam/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Disember - Polis akan mengambil keterangan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin bagi membantu siasatan kematian kanak-kanak autisme itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata polis juga akan merakam keterangan jiran dan saksi dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan siasatan.

“Buat masa ini, polis mengklasifikasikan kematian kanak-kanak ini sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bedah siasat ke atas kanak-kanak berusia enam tahun itu dijalankan pada 9.30 pagi tadi di Hospital Sungai Buloh di sini.

Difahamkan jenazah Zayn Rayyan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara hari ini.

Zayn Rayyan yang dilaporkan hilang sejak tengah hari Selasa lepas di Damansara Damai ditemukan meninggal dunia di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya pada 10 malam semalam. - BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

Zayn Rayyan yang hilang ditemui meninggal

GRACE AISYAH KEDAYAN