fb fb fb fb fb

Polis sahkan kematian Zayn Rayyan ada unsur jenayah

KUALA LUMPUR, 7 Disember - Polis mengesahkan kematian seorang kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemui meninggal dunia malam tadi sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi berkata hasil bedah siasat ke atas kanak-kanak terbabit mendapati ada unsur jenayah.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Hasil bedah siasat ke atas Zayn Rayyan mendapati kesan kecederaan pada leher dan badan.

"Beberapa individu akan dipanggil untuk memberi keterangan antaranya ibu dan bapa mangsa, setakat ini belum ada reman dilakukan kepada mana-mana individu," katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

Terdahulu, ibu kanak-kanak itu, Ismanira Abdul Manaf, 28, dilaporkan berkata, sebelum kejadian dia mengambil anaknya di Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 (SKDD2) dan pulang ke rumah.

Katanya, sebaik tiba di kawasan perumahan anaknya itu secara tiba-tiba meragam dan mahu bermain buaian di taman permainan.

Mayat Zayn ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, kira-kira 10 malam.

Penemuan kanak-kanak berkenaan susulan Op Tutup rumah ke rumah dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang bermula jam 9 malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN

Polis akan ambil keterangan ibu bapa, jiran Zayn Rayyan

Zayn Rayyan yang hilang ditemui meninggal

GRACE AISYAH KEDAYAN