fb fb fb fb fb

Pesara rugi RM155,804 terpedaya 'phone scam'

FOTO HIASAN

KUALA TERENGGANU, 27 Januari- Seorang pesara kerajaan kerugian RM155,804 selepas ditipu sindiket penipuan 'phone scam' yang menyamar sebagai pegawai polis.

Wanita berusia 68 tahun itu dihubungi suspek pada 16 Januari lalu yang mendakwa mangsa mempunyai waran tangkap kerana terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram dan penyalahgunaan meter air.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Azli Mohd Noor berkata mangsa kemudiannya diminta menyerahkan semua maklumat perbankan melibatkan tiga akaun bank kononnya untuk tujuan siasatan.

Beliau berkata, mangsa diarahkan memasukkkan kad debit ke dalam plastik dan diletakkan di celah pokok hadapan rumah.

"Mangsa telah menerima notifikasi pengurangan wang yang besar daripada ketiga-tiga akaun bank. Dia kemudiannya menghubungi pihak bank untuk menyekat akaun dan mendapatkan penyata.

"Selepas diperiksa didapati terdapat lebih 55 transaksi pindahan wang ke empat akaun yang dikenal pasti yang dibuat melalui mesin juruwang automatik," katanya.

Jelas Azli, susulan itu mangsa yang kehilangan wang simpanan pencennya membuat laporan polis pada 3.35 petang semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE