fb fb fb fb fb

Persundalan luar tabii: 13 lelaki dicekup disyaki terlibat aktiviti songsang

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris

BUKIT MERTAJAM, 30 November – Seramai 13 lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Bandar Perai Jaya di sini, selepas disyaki terlibat dalam aktiviti hubungan songsang dan persundalan luar tabii, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris, serbuan kira-kira pukul 7 malam itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD SPT bersama pasukan operasi pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Beliau berkata, sembilan lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing berusia 19 hingga 66 tahun yang merupakan pelanggan premis tersebut ditahan.

Manakala dua lelaki tempatan berusia 57 dan 59 tahun dipercayai pengusaha serta pekerja turut diberkas.

"Polis turut merampas kondom, minyak pelincir, peralatan berkaitan aktiviti songsang serta telefon bimbit yang mengandungi klip video lucah.

"Siasatan awal mendapati premis tiga tingkat itu mempunyai ruang rehat, sauna dan bilik partisyen yang dijadikan tempat melakukan aktiviti seks luar tabii sejak dua bulan lalu," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Ujian urin ke atas semua tangkapan didapati negatif, namun semakan rekod mendapati seorang lelaki tempatan mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 373/377B Kanun Keseksaan, Seksyen 377B Kanun Keseksaan, serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Dua lelaki warga asing itu ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk ke Malaysia tanpa pas atau dokumen yang sah.

Kesemua tangkapan direman enam hari sehingga 5 Disember bagi siasatan lanjut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti tidak bermoral supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras kegiatan terbabit," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN