KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Seorang penjawat awam direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa membabitkan beberapa permohonan tanah kerajaan di Terengganu.
Perintah reman sehingga 18 Julai dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, pagi tadi.
Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan pukul 2.00 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyeleweng pelbagai urusan tanah sejak 2019 hingga 2023.
Suspek disyaki menukar pelan tanah dan mengurus beberapa proses berkaitan tanah kerajaan untuk kepentingan anak-anaknya.
SPRM turut menyita dua bidang tanah berkeluasan kira-kira 6,000 dan 9,000 kaki persegi bagi tujuan siasatan.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, mengesahkan tangkapan berkenaan.
Kes disiasat bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.