KLANG, 28 Disember - Seorang penganggur dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol anak kenalannya, tahun lepas.
Hakim Syafeera Mohd Said menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Zainol Hafiz Mohamad Azmi, 26, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Syafeera memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini, selain mengenakan perintah kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Zainol didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di sebuah rumah di Sawah Sempadan, Tanjong Karang, dekat sini pada 4 pagi, 6 Feb 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.
Isterinya yang berada di galeri awam dilihat menangis teresak-esak sebaik mahkamah menjatuhkan hukuman itu.
Terdahulu, peguam Izzat Amir Saharudin yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan iaitu isteri dan tiga anak yang masih kecil.
"Ini adalah kesalahan kali pertama tertuduh, tertuduh kini tidak bekerja berikutan sukar mendapat pekerjaan selepas terikat dalam kes ini. Sebarang bentuk pendapatan hanya datang dari isterinya yang berniaga," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul 'Izzati Mohamad memohon hukuman berat dengan alasan ia adalah kesalahan yang serius dan berat selain kes itu melibatkan mangsa bawah umur.
"Mangsa juga mempunyai hubungan rapat dengan isteri dan anak-anak tertuduh. Sebagai orang dewasa sepatutnya menjaga dan melindungi kanak-kanak dan bukannya mengambil kesempatan ke atas mangsa yang berumur 12 tahun dengan melakukan perbuatan terkutuk," katanya.
Seramai enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 4 Sept lepas.
-- BERNAMA