fb fb fb fb fb

Penganggur culik budak perempuan didakwa miliki tiga bantal kanak-kanak bogel, alat sulit wanita palsu

Tertuduh, Leang Win Son didakwa hadapi tujuh tuduhan jenayah berkaitan bahan lucah di Mahkamah Majistret Kulai.

KULAI, 8 Ogos- Penganggur yang didakwa menculik kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Iskandar Puteri pada 20 Julai lalu, dihadapkan ke ke Mahkamah Majistret Kulai di sini, atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki bantal panjang anime kanak-kanak perempuan berbogel dan alat sulit wanita palsu, 24 Julai lalu.

Tertuduh, Leang Win Son, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki tiga bantal panjang bergambarkan anime kanak - kanak perempuan bogel , selain satu bantal panjang berwarna putih bergambar anime kanak-kanak perempuan berseluar pendek.

Bagi pertuduhan kelima sehingga ketujuh pula, tertuduh didakwa memiliki tiga alat sulit wanita palsu.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan dilakukan di Jalan Bunga Raya Dua, Taman Sri Kulai pada 24 Julai lalu.

Hakim membenarkan Leang Win Son diikat jamin berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili peguam Ungku Ahmad Hafis Ungku Fathil dan Nur Zafirah Norizan, manakala kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin.

Kes disebut semula pada 10 September depan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI