fb fb fb fb fb

Pengajar madrasah didakwa lakukan amang seksual kanak-kanak

FOTO BERNAMA

SEREMBAN, 11 Oktober- Seorang pengajar di sebuah madrasah tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.

Muhammad Ilyas Jamaludin, 33, didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap kanak-kanak itu di sebuah madrasah tahfiz di Tasik Senangin, Lenggeng awal tahun hingga akhir tahun lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebih 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan sekiranya mahkamah mengenakan jaminan, beliau memohon jumlah RM30,000 serta tertuduh dilarang mengganggu mangsa.

Peguam Mohd Zaharudeen Harun memohon mahkamah mengenakan jaminan RM8,000, dengan alasan anak guamnya kini tidak lagi berkerja di madrasah berkenaan dan berkerja di sebuah madrasah di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM1,600.

Hakim Datin Surita Budin menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat dimohon pendakwaan.

Sementara itu seorang lelaki warga Indonesia yang pada ketika kejadian berumur 17 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen yang sama atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak warga Indonesia berusia sembilan tahun.

Pembantu madrasah itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak, telah dengan sengaja menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di lokasi dan masa sama mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, perbuatan itu boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Noorashikin Nasarudin dan Nor Baizura Mohd Saubian manakala tertuduh diwakili peguam Fadlyzil Ikram Norzailan Shah.

Noorashikin mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin selain tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berdekatan, manakala Fadlyzil memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh berpendapatan RM1,000 sebulan.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi kemudiannya menetapkan jaminan RM7,000 dan sebutan kes bagi kedua-dua tertuduh ditetapkan pada 29 Nov.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE