KUALA LUMPUR, 7 November - Seorang pembantu tadbir kewangan di Markas Tentera Laut didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu berhubung permohonan perkhidmatan sajian bagi dua program di Kementerian Pertahanan Malaysia.
Hakim Rozina Ayob turut memerintahkan Norshuhada Ismail, 35, menjalani hukuman penjara 30 hari, jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Rozina berkata sebagai ibu, tertuduh sepatutnya menjadi contoh kepada anak-anaknya.
Norshuhada didakwa sebagai ejen kepada Kementerian Pertahanan Malaysia telah bersubahat dengan seorang pengurus syarikat menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Kertas Kerja Permohonan Perkhidmatan Sajian bagi Kursus Bijak Urus Wang dan Bengkel Memperkasakan Modal Insan pada Mac 2022 berjumlah RM15,776 untuk memperdayakan kementerian itu.
Kesalahan itu dilakukan di pejabat Pusat Tanggungjawab (PTJ) Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan Malaysia di sini antara Februari hingga Mac 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afiqah Ab Razak memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira kes ini membabitkan penjawat awam.
“Tertuduh merupakan pembantu tadbir kewangan yang menguruskan perolehan. Ini profesion mulia yang tidak seharusnya dicemari unsur jenayah.
“Penggunaan dokumen palsu adalah sikap tamak tertuduh. Selain itu, pendakwaan juga tidak membantah sekiranya hukuman denda diberikan kepada tertuduh dalam jumlah RM20,000 hingga RM25,000,” katanya.
Norshuhada yang tidak diwakili peguam merayu agar tidak dipenjarakan sebaliknya didenda antara RM20,000 hingga RM25,000 atas alasan dia menanggung keluarga dan mempunyai tiga anak yang masih kecil.
“Ini merupakan kesalahan pertama saya. Saya insaf dan menyesal serta berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama. Dengan hukuman ini, saya akan dikenakan tindakan tatatertib dan dibuang kerja dari Kementerian Pertahanan yang saya telah bertugas lebih 10 tahun.
“Saya juga akan kehilangan sumber pendapatan dan tempat tinggal memandangkan saya tinggal di kuarters kakitangan awam,” kata wanita itu dalam nada sebak. - BERNAMA