fb fb fb fb fb

Ops Hawk: 323 individu ditahan kes dadah

Foto RTM

KUANTAN, 13 Julai-Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menahan 323 individu termasuk empat wanita atas pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Hawk yang dijalankan di 11 daerah bermula 9 Julai hingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 16 hingga 63 tahun.

Operasi berkenaan melibatkan 17 pegawai dan 101 anggota polis, empat anggota Jabatan Pengangkutan Jalan dan dua anggota Jabatan Imigresen.

Pihak JSJN Pahang telah membuat serbuan ke atas sejumlah 17 kawasan sarang dan lokasi panas yang menjalankan aktiviti penagihan dan pengedaran dadah.

Ujar Noor Hisam pihak JSJN Pahang turut membuat 193 serbuan dengan 387 pemeriksaan ke kawasan sarang penagihan dadah, pusat hiburan dan lokasi panas.

Daripada jumlah yang ditahan, sebanyak 42 orang ditahan di bawah kategori kesalahan bekalan pengedaran; 77 kesalahan memiliki dan 204 orang bagi kesalahan urin.

Melalui operasi itu juga lapan lelaki dikehendaki atas kesalahan dadah berjaya dikesan.

Hasil semakan rekod lampau, daripada keseluruhan tangkapan tersebut, 32 orang berpotensi untuk dituduh di bawah seksyen 39 C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jumlah rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan RM97,147, selain menyita dua buah kereta bernilai RM14,600 serta wang tunai sebanyak RM30,600.

Dalam operasi sama, pihak polis turut menahan dua beradik bersama seorang rakan mereka yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah di sebuah pondok getah di Kampung Bukit Mat Daling, Ulu Tembeling, Jerantut, Khamis lalu.

Menurut Noor Hisham, ketika serbuan dilakukan, mereka sedang berbaring dan berehat di pondok  berkenaan.

Hasil serbuan yang dijalankan berjaya merampas 54.62 gram methamphetamine, 0.27 gram heroin, 1.06 gram ganja, satu laras senapang patah dan tujuh butir peluru, dianggarkan bernilai RM6,000

Turut dirampas sebuah kereta jenis Honda City 1.5 Efi dianggarkan bernilai RM4,600

Hasil ujian saringan awal polis didapati kesemua suspek positif methamphetamine.

Kesemua suspek direman yang berusia 23 hingga 37 tahun ini bermula semalam hingga 17 Julai ini bagi membantu siasatan, "katanya dalam satu kenyataan media.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD