ALOR GAJAH, 4 Mac- Syarikat logistik yang terbabit dalam nahas maut mengorbankan tujuh individu pada 23 Disember tahun lalu didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan membawa muatan melebihi had dibenarkan menerusi lori simen miliknya.
Orang Kena Saman (OKS), Yinson Transport (M) Sdn. Bhd., yang diwakili Pengurus Operasi, Ng Chee Keong mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa melanggar syarat lesen dengan membawa muatan serbuk simen seberat 68,260 kilogram (kg) melebihi had dibenarkan sebanyak 52,000kg iaitu lebihan 16,260kg.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer (KM) 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dalam daerah Alor Gajah sekitar pukul 8.30 malam, 23 Disember 2024.
Jika sabit kesalahan, syarikat berkenaan boleh didenda minimum RM1,000 dan maksimum RM500,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 57(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715). Selain itu, kenderaan terbabit boleh dilucutkan hak berdasarkan Seksyen 80(4) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik memohon tarikh baharu untuk serahan dokumen dan menyatakan bahawa waran tangkap boleh dikeluarkan sekiranya OKS gagal hadir ke mahkamah.
Mahkamah menetapkan 8 April depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan permohonan pendakwaan.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata lori berkenaan membawa simen melebihi had sekali gus menjadi punca kerosakan tayar pada lori berkenaan sehingga ia tercabut.
Nahas kira-kira pukul 8.45 malam itu telah mengorbankan tujuh individu manakala 33 lagi cedera membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kereta.
BERITA BERKAITAN