fb fb fb fb fb

Tujuh maut dalam kemalangan di Ayer Keroh

Kemalangan di kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara dari Ayer Keroh menghala ke Simpang Ampat, Melaka

ALOR GAJAH, 24 Disember- Tujuh dilaporkan maut manakala 33 yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas, dua buah lori dan dua buah kereta di kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dari Ayer Keroh menghala ke Simpang Ampat, Melaka malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supritendan Ashari Abu Samah berkata, mangsa yang maut masing-masing pemandu dan empat penumpang kereta pelbagai guna MPV serta pemandu dan seorang penumpang bas.

Manakala empat lagi penumpang kereta MPV,  pemandu kereta serta pemandu dan kelindan lori dirawat di Hospital Melaka.

Berdasarkan siasatan awal, lori treler dan bas persiaran yang membawa 27 penumpang berkenaan dari arah utara ke selatan manakala tiga kenderaan lain dari arah bertentangan.

Namun tiba di lokasi kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori treler tercabut dan berada di lorong tengah jalan menyebabkan bas yang tiba di tempat kejadian gagal mengelak serta hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

Bas terbabit kemudian merempuh tiga kenderaan lain iaitu sebuah kereta, sebuah lori dipandu seorang lelaki bersama kelindan dan sebuah MPV dinaiki lapan individu yang berada di arah bertentangan.

Akibat kemalangan pemandu dan penumpang bas, serta pemandu dan empat penumpang kereta MPV maut di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semua kenderaan terlibat ditahan untuk dibawa ke Puspakom bagi pemeriksaan.

Laporan awal menyebut sekurang-kurangnya enam maut dalam kemalangan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, berdekatan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh.

 

BERITA BERKAITAN:

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI