JOHOR BAHRU, 4 Mac - Tiga lelaki yang didakwa sebagai ahli Geng Adik Mamak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan rompakan berkumpulan, memiliki senjata api dan senjata api tiruan, yang didakwa dilakukan bulan lalu.
Tertuduh, Mohamad Haidar Abdullah, 34, N. Klement Raj, 38, dan Muhammad Zul Syamsi Johari, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail, Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Ibrahim, dan Majistret A. Sharmini.
Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Haidar dan N. Klement Raj didakwa secara bersama melakukan rompakan berkumpulan terhadap dua individu, menyebabkan kerugian berjumlah RM3,500 dan RM650.
Mereka melakukan kesalahan itu di Taman Sentosa, Johor Bahru, kira-kira pukul 5 pagi pada 14 Februari lalu.
Selain itu, Mohamad Haidar bersama Muhammad Zul Syamsi turut berdepan pertuduhan memiliki senjata api dan senjata api tiruan pada 17 Februari lalu di Kampung Melayu Majidee di sini.
Kesemua pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan, Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960, serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes pada 20 Mac, 10 April dan 20 April depan.