MELAKA, 24 Disember- Mereka sepatutnya pulang ke rumah di Bandar Baru Bangi (BBB), Selangor malam tadi, selepas mengadakan hari keluarga dan sambutan hari lahir di Melaka.
Demikian menurut Datuk Mazupi Abdul Rahman, bapa kepada pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, malam tadi.
Beliau berkata, allahyarham anaknya Khairul Izwan Mazupi, 32 tahun gagal dihubungi adik-beradik lain dan mengesyaki mangsa terlibat kemalangan jalan raya.
“Saya secara peribadi dia (Khairul Izwan) daripada kecil lagi seorang anak yang bersopan santun, tidak pernah meninggikan diri, tidak pernah meninggikan kata-kata.
"Begitu juga menantu saya, sama sahaja. Jadi saya memang terkejut sebab takdir Allah siapa yang boleh tahu, mana kita jangka. Pada malam tadi itulah perjalanan terakhir”, katanya kepada pemberita di Hospital Melaka, di sini.
Kemalangan itu turut menyebabkan menantunya, Fadzlenna Ramli, 32 tahun, cucu, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2 tahun serta besannya Ramli Ab Wahab, 66 tahun dan Fauziah Jaafar, 69 tahun maut di lokasi kejadian.
Manakala, dua lagi cucunya, Nur Sofea Humaira, 4 tahun dan Muhammad Uwais Al-Qarni sedang dirawat di Hospital Melaka.
Jenazah dibawa pulang ke Bandar Baru Bangi dan akan disembahyangkan di Surau Al-Ikhlas, Seksyen 4 Tambahan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sg. Tangkas, Selangor.
BERITA BERKAITAN: