fb fb fb fb fb

Masih tiada individu tampil bantu kes bunuh Zayn Rayyan - Polis

Zayn Rayyan

PETALING JAYA, 23 Februari- Tiada perkembangan terbaharu berhubung kes bunuh kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin walaupun Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor menawarkan ganjaran RM20,000 terhadap pihak yang membawa kepada penangkapan suspek kes bunuh itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan masih dijalankan dan pihaknya tidak berputus asa untuk menyelesaikan kes itu.

"Sehingga sekarang pihak polis tidak menerima sebarang (perkembangan baharu). Tiada siapa-siapa yang tampil ke hadapan untuk memberikan maklumat.

"Seperti Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain), kita tidak putus asa, kita masih meneruskan siasatan, kita masih ada pasukan yang bekerja dalam kes ini," katanya ketika sidang media selepas Majlis Serah Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.

Terdahulu, Mohd Shuhaily memaklumkam, polis tidak pernah menghentikan siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang kini sudah memasuki lebih dua bulan selepas tragedi itu berlaku di Damansara Damai, di sini.

SITI AISHAH MD ISA