PUTRAJAYA, 21 Julai - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan prosiding saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidik beliau, Muhammed Yusoff Rawther, sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung isu kekebalan Perdana Menteri.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan bahawa wujud keadaan luar biasa yang membolehkan penangguhan diberikan, tanpa menyebabkan sebarang prejudis kepada mana-mana pihak.
“Kami mendapati jika perbicaraan di Mahkamah Tinggi diteruskan sebelum Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan undang-undang yang dikemukakan, ia akan menjadikan rayuan tersebut sia-sia,” katanya ketika membacakan keputusan sebulat suara panel.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Dr Lim Hock Leng.
Mahkamah turut menetapkan 2 September depan sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya.
Datuk Seri Anwar memfailkan rayuan pada 4 Jun lalu melalui firma guaman Tetuan Zain, Megat & Murad, selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.
Anwar sebelum ini memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan untuk merujuk lapan persoalan perundangan berhubung tafsiran Perlembagaan, termasuk sama ada seorang Perdana Menteri yang sedang berkhidmat mempunyai sebarang bentuk imuniti terhadap tindakan sivil berkaitan dakwaan insiden sebelum pelantikannya.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain sebelum ini menolak permohonan itu, menyatakan bahawa persoalan dikemukakan bersifat spekulatif dan tidak perlu bagi menentukan kes saman tersebut, selain tidak membabitkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan Perlembagaan.
Saman sivil oleh Muhammed Yusoff difailkan pada 2021, berhubung dakwaan serangan seksual yang didakwa berlaku pada Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut, Kuala Lumpur.