KOTA BHARU, 30 Jun – Lima lelaki yang ditahan atas kesalahan dadah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melarikan diri dari lokap Mahkamah Sesyen Pasir Mas dan memecah masuk sebuah rumah penduduk di Pasir Mas, 22 Jun lalu.
Kesemua tertuduh, Mohd Safiuddin Hanif Mohd Shargawi, 38; Muhamad Norshamzee Mohd Noresan, 32; Mohamad Akmal Mohd Zahari, 31; Mohd Haris Zakaria, 37; dan Muhammad Alif Izham Hussim, 23, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, kelima-lima mereka didakwa melarikan diri daripada tahanan yang sah di sisi undang-undang pada 10.20 pagi di lokap Mahkamah Sesyen Pasir Mas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Selain itu, kesemua tertuduh turut berdepan pertuduhan kedua iaitu memecah masuk sebuah rumah di Kampung Kubang Bongor, Lemal.
Mereka melakukan kesalahan itu pada 10.30 pagi pada hari sama, dengan niat mencuri telefon bimbit jenama milik seorang wanita berusia 46 tahun.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang turut dibaca bersama Seksyen 34, dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.
Dalam prosiding sama, Mohd Safiuddin turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan iaitu mencederakan seorang anggota polis, Sarjan Mohd Zaidi Muda, 48, dengan memaut leher mangsa ketika sedang menjalankan tugas di lokap mahkamah sama.
Tindakan itu membawa kepada pertuduhan di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala semua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, (YBGK) Nur Amira Mat.
Syazalia memohon agar tiada jaminan diberikan terhadap semua tertuduh kerana empat daripada mereka mempunyai pertuduhan berkaitan dadah di Mahkamah Pasir Mas.
Manakala Mohamad Akmal pernah melarikan diri dari lokap sebelum ini.
Mahkamah memutuskan untuk tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 13 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.