KUALA LUMPUR, 10 Januari- Lima individu termasuk seorang pegawai pengurusan tertinggi sebuah syarikat penyiaran tempatan ditahan polis di beberapa lokasi di Pulau Pinang dan Sarawak,menerusi Op Ragada hari ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, mereka disyaki terbabit dalam kes pengubahan wang haram.
Mereka terdiri empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun.
Tangkapan dilakukan Bukit Aman selepas menerima maklumat risikan kewangan tentang transaksi meragukan melibatkan beberapa akaun bank dalam tempoh 2017 hingga September 2024.
Polis turut merampas, membekukan dan menyita aset dengan nilai keseluruhan berjumlah lebih RM17 juta.
Modus operandi mereka adalah menjalankan aktiviti jenayah pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan mencurigakan dan kesalahan pecah amanah jenayah, tipu tender dan menganugerahkan tender kepada diri sendiri atau ahli keluarga.