KUANTAN, 25 Ogos -Polis berjaya menyelesaikan dua kes jenayah harta benda yang berlaku, susulan penahanan seorang lelaki warga asing di Jalan Bukit Ubi, di sini, pada 9.00 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah dalam kenyataan berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada rampasan tiga unit telefon bimbit.
"Siasatan mendapati telefon bimbit yang dirampas adalah berkait dengan kes kecurian telefon bimbit di Kuantan Parade, Kuantan pada Jumaat lalu," katanya menerusi kenyataan itu.
Hasil siasatan lanjut polis berjaya merampas tiga komputer, tablet dan monitor yang dipercayai berkait dengan kes pecah pejabat pada 22 Ogos lalu.
Suspek berusia 26 tahun merupakan penganggur dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
"Suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut bawah seksyen 380 dan 457 kanun keseksaan," katanya.