JOHOR BAHRU, 22 Oktober- Seorang bapa dan teman wanitanya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana mengabaikan anak lelakinya sehingga mengalami mulnutrisi dari Julai sehingga Oktober tahun ini.
Lelaki berusia 37 tahun dan teman wanitanya, 39 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.
Berdasarkan pertuduhan, mereka mengabaikan kanak-kanak berusia 7 tahun itu hingga mengalami kekurangan zat makanan atau mulnutrisi.
Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, teman wanitanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan fizikal pada tangan kanan kanak-kanak tersebut.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Pulai Jaya, Johor Bahru antara Julai lalu hingga 12 Oktober lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Theviya dan Abdul Umar Faiz Abdul Kohar.
21 November ditetapkan bagi, sebutan fakta, jatuh hukum, sebutan semula dan lantikan peguam.
(Tertuduh diiringi polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru)