KUALA LUMPUR, 17 Mac– Seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kegiatan pemerdagangan manusia.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Datuk Fadil Marsus, suspek merupakan salah seorang daripada 25 individu yang berjaya diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar baru-baru ini.
"Daripada 25 individu tersebut, enam dikenal pasti sebagai mangsa sebenar pemerdagangan manusia. Mereka akan ditempatkan di rumah perlindungan sementara serta diberikan Interim Protection Order (IPO) sepanjang tempoh siasatan. Manakala selebihnya bukan mangsa," katanya dalam sidang media di Bukit Aman petang tadi.
Enam mangsa yang disahkan terlibat terdiri daripada seorang wanita dan lima lelaki, berdasarkan Garis Panduan Nasional mengenai Indikator Pemerdagangan Orang.
Setakat 13 Mac, polis telah menerima 489 laporan berkaitan penipuan pekerjaan yang melibatkan 637 mangsa, dengan 504 daripadanya berjaya diselamatkan.
Terdahulu, pada 12 Mac, seramai 25 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian di Myawaddy, Myanmar, berjaya dibawa pulang dengan selamat melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.