LANGKAWI, 14 Ogos – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Langkawi hari ini atas tuduhan membunuh isterinya di perairan Pantai Oak, Pulau Dayang Bunting, pada 30 Julai lalu.
Tertuduh, Mohamad Shafiq Ma Ean Chaiyan, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Natasha Rizal.
Mangsa dikenali sebagai Fadilah Saidon, 21.
Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ain Nur Sofea Noridan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 Oktober depan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.