fb fb fb fb fb

Lebihan had simpanan, 205 tong gas LPG disita

205 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur disita

KUALA LUMPUR, 23 Januari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menyita 205 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) termasuk termasuk 85 tong LPG 12kg dan 120 tong LPG 14kg di premis perniagaan di Taman Sri Rampai, di sini.

KPDN dalam satu kenyataan memaklumkan sitaan pada 21 Januari kira-kira pukul 1.00 tengah hari diambil susulan daripada maklumat risikan dan serahan kes daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kes ini melibatkan pengoperasian perniagaan yang mencurigakan di premis tersebut. Pasukan penguatkuasa KPDN Kuala Lumpur segera turun ke lokasi sejurus menerima maklumat daripada PDRM.

"Hasil pemeriksaan maklumat pengisytiharan stok barang kawalan (LPG) yang diarahkan oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDN, premis perniagaan berkenaan didapati memiliki dalam simpanan sebanyak 2,700 kilogram lebihan had simpanan LPG yang dibenarkan dalam lesen runcit barang kawalan (LPG) yang masih sah hingga 25 Oktober 2025," menurut kenyataan itu.

Lebihan had simpanan LPG itu telah disita dan akan disiasat bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961. Nilai rampasan dianggarkan RM23,930.

Semakan rekod kesalahan lampau juga mendapati pemegang lesen runcit itu mempunyai beberapa rekod kesalahan lain bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak tahun 2018.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI