fb fb fb fb fb

Langgar pelajar UiTM: Pemeriksaan psikiatri pemandu wanita dilanjutkan sebulan

Foto hiasan

DUNGUN, 17 November- Tempoh pemeriksaan psikiatri ke atas pemandu wanita yang merempuh dua motosikal sehingga mengakibatkan kematian tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun dilanjutkan selama sebulan lagi.

Majistret Nur Amira Fatihah Osman membenarkan lanjutan tempoh tersebut di Mahkamah Majistret Dungun.

Ia dilakukan mengikut Seksyen 342 (3) Kanun Tatacara Jenayah kerana lebih masa diperlukan untuk menilai keadaan mental tertuduh.

Sebelum ini, mahkamah telah mengarahkan tertuduh, Norizan Ismail, menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian tiga penuntut UiTM di hadapan kampus tersebut, manakala seorang lagi cedera pada 9 Oktober lalu.
  
Pertuduhan dilakukan mengikut  Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan. 
 
Mahkamah menetapkan 17 Disember depan untuk sebutan semula kes.
 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Azizan Abdullah dan Nur Azhani Azman. Manakala tertuduh diwakili peguam, Norhabibah Norulzahar.

BERITA BERKAITAN: 

ROSLINA BINTI DIN