fb fb fb fb fb

Kes sabung ayam: 11 lelaki ditahan di Kuala Terengganu

Foto PDRM Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 23 Mei– 11 lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan dalam satu serbuan membanteras aktiviti pertaruhan sabung ayam di belakang sebuah rumah di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, DCP Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, serbuan menerusi Op Dadu itu dijalankan sepasukan anggota dari Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Terengganu dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu.

Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 32 hingga 66 tahun.

"Antara yang dirampas termasuk empat ekor ayam jantan, sebuah bon laga ayam berwarna biru muda dan hitam, sebuah beg mengandungi jarum, benang serta pita pelekat perubatan berwarna merah, selain wang tunai berjumlah RM5,823," katanya menerusi kenyataan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 32(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM