KUCHING, 10 Oktober- Polis telah merakam keterangan ibu kepada Nurzahieyka Zainuddin, 3 tahun, bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian kanak-kanak itu yang disyaki akibat didera pada malam Selasa lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, wanita berusia 37 tahun itu dipercayai mempunyai hubungan dengan suspek lelaki berumur 32 tahun yang ditahan di Kampung Krian, Padawan semalam kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan.
"Kita masih menyiasat, namun percaya ada hubungan antara mereka. Jenis hubungan itu akan dimaklumkan kemudian, tetapi bukan hubungan suami isteri," katanya.
Beliau berkata, suspek juga dikenal pasti mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.
Tambahnya, bedah siasat terhadap mayat mangsa sedang dijalankan oleh pasukan forensik bagi menentukan punca kematian.
Mohamad Zainal berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Kuching pagi tadi.
Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.
BERITA BERKAITAN