fb fb fb fb fb

24 PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu JIM dan JPJ di Gua Musang

FOTO FB JIM KELANTAN

GUA MUSANG, 9 Oktober - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri berjaya menahan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu Operasi Bersepadu di Stesen Penguatkuasa JPJ Mentara, semalam.

Operasi yang bermula sekitar 8 pagi itu melibatkan 40 pegawai penguat kuasa daripada kedua-dua agensi, hasil risikan terhadap taktik PATI yang menggunakan perkhidmatan bas awam bagi mengelak pemeriksaan pihak berkuasa.

Daripada jumlah yang ditahan, melibatkan lima lelaki Bangladesh, lima lelaki India, dua lelaki Pakistan, dua lelaki Myanmar, seorang lelaki Indonesia, tujuh perempuan Indonesia, seorang perempuan India dan seorang perempuan Bangladesh.

Selain itu, JPJ Kelantan turut menyita beberapa kenderaan milik serta digunakan warga asing semasa operasi dijalankan.

Semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

JIM Kelantan dalam kenyataan menegaskan akan terus mempergiat operasi seumpama itu dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara atau melindungi PATI,” tegas kenyataan itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE