RANTAU PANJANG, 9 Oktober - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak diesel selepas menahan sebuah kenderaan mencurigakan di Kampung Dangar dalam Op Taring Wawasan Kelantan, semalam.
Briged Tenggara PGA Rasmi menerusi satu hantaran di laman Facebook memaklumkan, dalam kejadian kira-kira 9 pagi semalam, pemandu kenderaan terbabit bertindak melarikan diri sebelum meninggalkan kenderaan di tepi jalan.
"Hasil pemeriksaan menemui 40 tong jerikin berisi kira-kira 1,000 liter minyak diesel yang disyaki cuba diseludup ke Thailand.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM42,900, termasuk kenderaan yang digunakan dalam cubaan penyeludupan itu," menurut hantaran tersebut.
Kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pasir Mas untuk tindakan lanjut dan disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.