SITIAWAN, 10 Oktober – Sebanyak 344 kotak minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak bercukai berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu dalam satu serbuan di sebuah rumah banglo di Kampung Acheh, di sini semalam (Rabu).
Komander PPM Wilayah Satu, ACP Rusley Chi Ari, berkata operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat risikan mengenai kegiatan penyimpanan dan pengedaran minuman keras tidak bercukai di kawasan tersebut.
Ketika pasukan menjalankan intipan, sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki tempatan tiba di hadapan banglo berkenaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan beberapa kotak berisi botol minuman keras disyaki tidak bercukai,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemeriksaan lanjut di dalam rumah milik suspek kemudian menemui ratusan lagi kotak minuman keras pelbagai jenis dan jenama yang dipercayai disimpan untuk pasaran tempatan tanpa setem cukai kastam sah.
Keseluruhan rampasan melibatkan 3,882 botol minuman keras, bersamaan kira-kira 2,846 liter, dengan anggaran nilai keseluruhan RM250,000, termasuk cukai dan sebuah kenderaan Toyota Hilux yang turut disita.
Turut ditahan, seorang lelaki warga Vietnam berusia 24 tahun yang dipercayai penjaga premis berkenaan.
Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.
Semua rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kampung Acheh untuk proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung bagi tindakan lanjut.