KUCHING, 10 Oktober – Mahkamah Majistret Kuching hari ini membenarkan tahanan reman selama tujuh hari terhadap suspek kes dera dan bunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Kampung Rampangi, di sini.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah, Aida Montong, bagi membantu siasatan polis.
Tempoh reman bermula esok hingga Jumaat depan.
Suspek lelaki berusia 32 tahun itu tiba di mahkamah sekitar pukul 9.00 pagi dan tidak diiringi peguam.
Terdahulu, suspek ditahan di Kampung Krian, Padawan, semalam, kurang 24 jam selepas laporan polis berhubung kejadian tersebut difailkan.
Difahamkan, suspek melarikan diri ketika mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas dipercayai didera.
Polis kini meneruskan siasatan terperinci bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu memaklumkan seorang lelaki berumur 32 tahun ditahan di Kampung Krian, Jalan Padawan bagi membantu siasatan kes terbabit yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hasil semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah.