fb fb fb fb fb

Bapa didakwa 10 pertuduhan rogol anak kandung di Teluk Intan

FOTO HIASAN

TELUK INTAN, 10 Oktober- Seorang bapa tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan, hari ini, atas sepuluh pertuduhan merogol anak perempuannya yang berusia 11 tahun sejak Jun lalu.

Lelaki berusia 48 tahun itu membuat pengakuan selepas kesemua pertuduhan dibacakan melalui jurubahasa di hadapan Hakim Norhamizah Shariffuddin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa di mana perhubungan sedemikian tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat dan kebiasaan yang terpakai bagi perkahwinan.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta tidak lebih 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol mencadangkan supaya tertuduh tidak diberikan jaminan kerana kes itu sangat serius. Bagaimanapun, jika dibenarkan, jaminan dicadangkan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau turut memohon agar penjamin bukan pengadu supaya tiada konflik kepentingan, tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa atau saksi dan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwa.

Kes akan disebut semula pada 4 Disember depan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA