GEORGE TOWN, 10 Oktober - Polis Pulau Pinang mengesahkan kematian seorang lelaki berusia 31 tahun yang ditemui di belakang kawasan perumahan di Ampang Jajar, Permatang Pauh semalam, disebabkan 'suffocation' atau sesak nafas akibat dicekik atau mati lemas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata hasil bedah siasat oleh Pakar Forensik Hospital Pulau Pinang mengesahkan punca kematian tersebut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mayat mangsa ditemui dalam beg bagasi, dengan kesan kecederaan pada leher, tangan diikat, dan kepala diserkup menggunakan plastik.
“Mangsa, seorang lelaki dilaporkan hilang pada 8 Oktober selepas keluar dari rumah dan tidak pulang sehingga mayatnya ditemui semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Penguasa Polis ASP Norhaslinda Rahmat di talian 04-5762222 atau melapor ke balai polis berhampiran.