fb fb fb fb fb

Bot seludup PATI & dadah langgar bot Maritim Malaysia, dua suspek terjun laut

FOTO Maritim Malaysia

π—§π—”π—‘π—π—¨π—‘π—š π—•π—œπ——π—”π—₯𝗔, 10 Oktober - Cubaan tiga lelaki dipercayai warga Indonesia untuk menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dadah keluar dari perairan Malaysia gagal apabila bot gentian kaca yang dinaiki mereka karam selepas melanggar bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Tanjung Bidara, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria, berkata kejadian berlaku sekitar 4.00 pagi hasil maklumat risikan yang mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot dari Pulau Rupat, Indonesia, dipercayai menuju ke perairan Malaysia.

β€œBot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Murni berjaya mengesan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran bergerak dalam keadaan mencurigakan kira-kira 2.3 batu nautika barat daya Tanjung Bidara.

β€œApabila diarah berhenti untuk pemeriksaan, bot berkenaan bertindak agresif dan melanggar bot ronda Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan pelanggaran itu, dua daripada tiga suspek bertindak terjun ke laut bagi meloloskan diri, manakala seorang lagi berjaya ditahan selepas bot mereka hilang kawalan dan terbalik.

Siasatan awal mendapati bot berkenaan dipercayai menuju ke Pengkalan Balak, Melaka bagi mengambil PATI serta dadah untuk diseludup keluar dari Malaysia.

Suspek yang ditahan berusia 37 tahun dan telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki perairan negara tanpa kebenaran.

Sementara itu, Operasi Carilamat telah diaktifkan bagi mengesan dua lagi suspek yang masih hilang di laut.

Maritim Malaysia turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dalam jenayah rentas sempadan, dan akan terus mempertingkatkan rondaan serta risikan di sepanjang perairan negeri ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE