fb fb fb fb fb

Tiada kompromi terhadap salah laku seksual di sekolah Melaka - Fadhlina

Fadhlina Sidek/ Facebook Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil serius kes salah laku seksual melibatkan beberapa pelajar di sebuah sekolah di Melaka dengan kesemua suspek berusia 17 tahun telah direman untuk siasatan polis.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah tanpa sebarang perlindungan.

"Saya telah mengarahkan pihak sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri untuk memastikan prosedur dipatuhi sepenuhnya dan memberi kerjasama penuh kepada proses siasatan yang sedang berjalan.

"Tindakan paling tegas perlu diambil terhadap pesalah. Tiada siapa yang akan dilindungi!" tegasnya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pematuhan prosedur penting bagi mengekalkan keselamatan murid, guru dan integriti institusi pendidikan.

Media sebelum ini melaporkan kejadian rogol bergilir-gilir melibatkan mangsa berusia 15 tahun berlaku sekitar 2.50 petang pada 2 Oktober lepas dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah.

Perbuatan itu dirakam menggunakan telefon bimbit oleh dua daripada empat suspek pelajar lelaki yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA