fb fb fb fb fb

Kanak-kanak 3 tahun maut didera, teman lelaki ibu ditahan

FOTO IPD KUCHING

KUCHING, 9 Oktober - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dari Kampung Rampangi di sini, maut dengan kesan lebam di badan selepas dipercayai didera, lewat malam Selasa lalu.

Mangsa, Nurzahieyka Zainuddin, ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya sekitar pukul 9 malam sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS). Namun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Alexson Naga Chabu, mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian daripada bapa mangsa yang berusia 52 tahun, lewat malam kejadian.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan teman lelaki ibu mangsa berusia 32 tahun di Kampung Krian, Padawan, pagi tadi. Suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.

Menurut beliau, pada malam kejadian, suspek dipercayai dibelasah penduduk kampung selepas dituduh mendera anak bongsu daripada enam beradik itu sebelum melarikan diri dengan motosikal ketika kononnya mengiringi ambulans membawa mangsa ke hospital.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 40 tahun jika sabit kesalahan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE