MIRI, 9 Oktober - Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia di Simpang Jalan Cerdas berhampiran Wisma Persekutuan Miri, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11.20 malam ketika sepasukan anggota polis sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan dan sedang membuat persediaan untuk memotong kabel menggunakan alatan pemotong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kedua-dua suspek berusia 41 dan 28 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan pada waktu malam di kawasan sunyi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Polis telah mendapatkan perintah reman di Mahkamah Miri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.