KUALA LUMPUR, 27 Mei- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit 1 (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) berjaya mematahkan tiga kes penyeludupan melibatkan minuman keras, dron dan dadah jenis ganja, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM5.4 juta termasuk cukai.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa @ Mustapha berkata, semua rampasan dilakukan hasil risikan bersepadu serta kerjasama strategik antara Bahagian Penguatkuasaan JKDM WPKL dan Bahagian Pemeriksaan Penumpang Lapangan Terbang.
"Jumlah keseluruhan rampasan yang dicatatkan oleh JKDM WPKL pada hari ini ialah sebanyak RM5,445,669, merangkumi nilai barang rampasan berjumlah RM3,578,536 dan cukai sebanyak RM1,867,133." katanya dalam sidang media disini.
Kes pertama membabitkan 21,351 liter minuman keras pelbagai jenama yang disita daripada sebuah kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Utara, Klang pada 7 Mei lalu. Pemeriksaan mendapati barangan tersebut tidak mempunyai permit import yang sah dan disyaki untuk pasaran gelap tempatan. Nilai komoditi dianggarkan berjumlah RM1,224,600 dengan nilai cukai sebanyak RM1,789,000.
Manakala dalam kes kedua, pasukan JKDM menemui 20 unit dron jenis DJI Agras T50 bernilai RM1.56 juta, yang cuba diimport tanpa permit menggunakan taktik penyamaran sebagai ‘kitchen towel’. Pemeriksaan dibuat pada 23 April lalu di gudang kurier KLIA. Nilai cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM78,000.
Dalam kes berasingan, JKDM WPKL turut berjaya mematahkan cubaan mengeksport 10.055 kilogram bunga ganja ke luar negara melalui KLIA pada 29 April. Nilai rampasan dianggarkan RM993,936.
Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan tanpa permit dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya, yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu pihak JKDM turut menggesa orang awam agar terus bekerjasama memerangi kegiatan penyeludupan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855, dengan jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.