fb fb fb fb fb

Isteri dibebaskan, suami diarah bela diri tuduhan edar dadah

Pasangan suami isteri hadir ke Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines, lima tahun lalu.

IPOH, 2 Julai- Seorang suri rumah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines, lima tahun lalu.

Hakim, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh, G Peramla, 54, mempunyai niat bersama melakukan kesalahan berkenaan di akhir pendakwaan.

"Tiada keterangan menunjukkan bahawa orang kena tuduh (OKT) ini mempunyai akses dan kawalan terhadap beg berisi dadah dan tidak terdapat bukti dikemukakan yang boleh merumuskan terdapat perbuatan OKT dengan niat bersama melakukan kesalahan tersebut.

"Berdasarkan kepada dapatan dan berlandaskan prinsip undang-undang, adalah tidak selamat untuk saya memanggil OKT ini untuk membela diri ke atas pertuduhan yang dikenakan.

"Oleh itu, OKT dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan kes tanpa dipanggil untuk membela diri," katanya ketika membacakan penghakiman itu.

Pada prodising itu, mahkamah turut memerintahkan suami tertuduh, Mohinder Singh, 45, membela diri terhadap pertuduhan sama dan empat yang lain selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, Mohinder didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah berbahaya seberat 1,322.9 gram (243.4 gram heroin dan 1,079.5 gram monoacetyimorphines).

Dia juga didakwa bagi pertuduhan di bawah Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 kerana memiliki 60.55 kilogram (kg) serbuk kafein, 93 mililiter cecair kafein dan 10.74 kg chloroquine.

Selain itu, Mohinder turut didakwa bersama isterinya di bawah Seksyen 39B(1)(a) kerana mengedar dadah berbahaya seberat 524.1 gram (38.7 gram heroin dan 485.4 gram monoacetyimorphines).

Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor di dalam daerah Kinta pada pukul 6.25 petang, 22 November 2019.

Tertuduh diwakili peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Effa Azwin Aidrul Hisham dan Hartrisha Kaur Sandhu manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Akmal Mod Said dan Liyana Zawani Mohd Radzi.

Hakim, Abdul Wahab kemudian menetapkan 28 dan 29 Ogos depan untuk tarikh perbicaraan bagi peringkat pembelaan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI