fb fb fb fb fb

Indeks jenayah Melaka meningkat 2.4%

Foto BERNAMA

BANDARAYA MELAKA, 8 November- Indeks jenayah negeri Melaka dilapor meningkat sebanyak 2.4 peratus pada tahun ini.

Setakat November 2023, sejumlah 1,177 kes telah direkodkan berbanding 1,149 kes pada tahun 2022.

Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, daripada jumlah itu, jenayah pecah rumah antara yang tertinggi direkodkan iaitu 343 kes membabitkan peningkatan 2.7 peratus berbanding tahun lepas, 334 kes.

Jelas beliau, sebanyak 812 kes juga telah diselesaikan tahun ini.

"Masyarakat juga boleh dapat berita-berita ini atau tips-tips ini melalui media sosial polis Melaka. Kita ada Facebook, Instagram dan TikTok yang mana penyampaian itu mudah dicapai oleh masyarakat.

Pihak polis kekal menjalankan rondaan dan pemantauan seperti sedia kala termasuk kawasan yang ditinggalkan atau tumpuan pelancongan," kata Zainol kepada pemberita selepas merasmikan Kempen cegah Jenayah dan Walkabout Sempena Sambutan Perayaan Deepavali 2023 di Kampung Chetti Gajah Berang.

Mengulas lanjut, dalam usaha mengekang peningkatan jenayah pecah rumah, beliau menyarankan masyarakat menggunakan sebaik mungkin inisiatif Borang Maklum Balas Balik Kampung terutama ketika musim perayaan.

Ia bagi memudahkan pihak berkuasa melaksanakan pemantauan dan rondaan secara kerap di kediaman atau premis yang ditinggalkan sepanjang tempoh cuti.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM