SEPANG, 24 Oktober – Pemilik akaun Facebook 'Adeline Chang' didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang setelah mengaku bersalah memulakan penghantaran komunikasi jelik yang melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun melalui media sosial, Mei lalu.
Chang Pei Yi, 24 tahun, sebagai Orang Kena Saman (OKS), membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Berdasarkan pertuduhan, pada 30 Mei sekitar pukul 11 malam, wanita itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang mengandungi gambar beserta teks dalam bahasa Mandarin dengan kata-kata kesat yang bertujuan menyakitkan hati orang lain.
Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama.
Seksyen 233 (3) memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan yang diteruskan selepas pensabitan.
Hakim Ahmad Fuad menegaskan bahawa perbuatan OKS tersebut telah mencemarkan maruah kanak-kanak dan keluarganya.
Beliau mengingatkan bahawa rakyat perlu mematuhi prinsip Rukun Negara, terutama dalam aspek kesopanan dan kesusilaan.
Beliau turut menasihatkan OKS agar tidak menjadikan masalah peribadi sebagai alasan untuk memanjangkan isu yang memberi kesan jangka panjang kepada individu lain yang tidak bersalah.