fb fb fb fb fb

GISBH: MAIS adakan mesyuarat khas esok

Mohd Shahzihan Ahmad /Foto RTM

SHAH ALAM, 16 September- Satu mesyuarat khas akan diadakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) esok bagi membincangkan tindakan selanjutnya berhubung isu Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata mesyuarat itu akan melibatkan jabatan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa pihak berkuasa berkaitan.

Mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

"MAIS yang akan akan membincangkan khas mengenai tindakan-tindakan selanjutnya yang perlu diambil oleh pihak-pihak berkuasa negeri, khususnya JAIS jika melibatkan soal akidah

"Susulan daripada itu, kita semua akan tahu isu dan masalahnya daripada situ akan ada tindakan susulan.

"Kita tidak tahu agenda lagi tapi saya tahu berdasarkan kenyataan semalam banyak arahan kepada JAIS dan arahan itu akan diperincikan esok, apa yang JAIS perlu buat," katanya selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Sabtu lalu, MAIS mengarahkan JAIS berganding bahu dan bekerjasama dengan PDRM dan agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras kesalahan jenayah, termasuk jenayah syariah yang berlaku di Selangor.

Ia susulan tangkapan dan siasatan PDRM atas laporan kesalahan pengabaian serta penganiayaan, termasuk kesalahan seksual terhadap penghuni di 20 rumah amal yang dikaitkan dengan syarikat GISBH.

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM