fb fb fb fb fb

Geng samun 'Centro' tumpas, tiga penjenayah warga asing maut

Antara senjata api yang dirampas polis dalam serbuan tengah malam tadi di Kuantan, Pahang

KUANTAN, 12 Mac- Geng 'Centro' yang aktif melakukan jenayah samun dan pecah kedai emas di beberapa negeri termasuk Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak, sejak Jun lalu berjaya ditumpaskan polis, tengah malam tadi.

Tiga mereka yang merupakan warga asing mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Kilometer 17, Jalan Pekan-Kuantan Bypass berhampiran Ubai di sini.
 
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, geng penjenayah itu dianggotai oleh seorang warga Bangladesh dan dua warga Vietnam berusia antara 34 hingga 44 tahun.
 
"Modus operandi penjenayah adalah menyerang dan menyamun mangsa menggunakan kekerasan. Suspek juga telah memecah atau menebuk peti besi menggunakan mesin 'grinder' sebelum melarikan barang kemas.

"Dengan tertumpasnya Geng 'Centro' ini, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun dan pecah masuk kedai emas iaitu satu kes di Selangor, satu kes di Negeri Sembilan, stu kes di Pahang dan tiga kes di Perak melibatkan keseluruhan kerugian lebih RM4 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini.

Operasi bermula pada pukul 11.30 malam itu melibatkan kerjasama antara Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dan JSJ Pahang yang berjaya mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di sekitar Pekan.

Suspek kemudian memecut kenderaan sebaik polis memperkenalkan diri bagi tujuan pemeriksaan sebelum terhenti akibat menghimpit dam melanggar kenderaan polis.

Yahaya berkata, ketika pemeriksaan, suspek secara tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis dan berlaku kejadian berbalas tembakan sebelum suspek tumpas dalam kenderaan tersebut.

"Semasa polis hendak membuat pemeriksaan, suspek secara tiba-tiba telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis. Bagi tujuan mempertahankan diri, polis membalas tembakan sehingga penjenayah dalam kereta tersebut tumpas," katanya.
 
Hasil pemeriksaan lanjut dalam kereta itu, polis menemui sepucuk pistol jenis 'Glock 17', enam butir peluru dalam 'magazine', sebutir peluru dalam 'chamber', tiga kelongsong peluru, dua bilah parang dan beberapa alat pecah masuk serta tiga set nombor pendaftaran kenderaan.
 
Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

1203 POLIS TUMPAS CENTRO 1
Tiga penjenayah warga asing yang mati ditembak polis, tengah malam tadi

SITI AISHAH MD ISA