fb fb fb fb fb

Fahmi mengutuk insiden gangguan seksual wartawan wanita

Polis mengesahkan menahan seorang lelaki selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), hari ini.

KUALA LUMPUR, 4 Julai - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengutuk sekeras-kerasnya insiden gangguan seksual terhadap seorang wartawan wanita ketika membuat liputan satu majlis perjumpaan pemimpin di Sungai Kechil, Nibong Tebal di Pulau Pinang, semalam.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu menegaskan agar pelaku tersebut dihadapkan ke muka pengadilan dengan segera.

"Saya telah menerima maklumat lanjut berhubung kejadian itu daripada wartawan berkenaan.

"Pihak yang melakukan kesalahan tersebut perlu segera dibawa ke muka pengadilan.

"Insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku sama sekali, apatah lagi ketika pengamal media sedang menjalankan tugas," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara terperinci dan telus.

Terdahulu, polis Pulau Pinang mengesahkan telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wartawan wanita, ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, penahanan itu dibuat selepas suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), hari ini.

Insiden gangguan seksual itu didakwa telah dilihat beberapa pengamal media lain, sebelum lelaki yang mendakwa dirinya petugas sebuah parti politik.

BERITA BERKAITAN:

GRACE AISYAH KEDAYAN