fb fb fb fb fb

Enggan sertai kongsi gelap, lapan ahli kongsi gelap termasuk tujuh Juvana di dakwa

Lim Jian Yau, 20 tahun, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan tiga remaja berkenaan di Taman Mutiara Rini, Skudai, pada 15 Jun

JOHOR BAHRU, 24 Jun - Lapan ahli kongsi gelap termasuk tujuh remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Seorang tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru manakala tujuh lagi remaja berusia 15 tahun hingga 18 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Juvana.

Kesemua mereka berdepan tuduhan mencederakan tiga remaja berusia 15 tahun, dipercayai kerana enggan memasuki geng mereka.

Lim Jian Yau, 20 tahun, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan tiga remaja berkenaan di Taman Mutiara Rini, Skudai, pada 15 Jun.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,200 bagi ketiga-tiga pertuduhan atau empat bulan penjara jika gagal bayar denda.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Juvana, tujuh lagi remaja ahli kongsi gelap menghadapi sembilan pertuduhan kerana mencederakan dan menggunakan kekerasan jenayah.

Mereka didakwa mencederakan tiga remaja yang sama dengan memukul mereka, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ketujuh-ketujuh remaja itu juga didakwa menggunakan kekerasan dengan mencabul kehormatan tiga mangsa yang sama, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Mereka turut didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas remaja berkenaan menggunakan senjata iaitu batang PVC yang boleh menyebabkan kematian, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Afiqah Musa dan diwakili peguam Jason Tan Ka Yan dan Mohamed Imran Mohamed Sam.

Majistret memerintah setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 seorang selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen pada 29 Julai depan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN