KOTA TINGGI, 24 Oktober - Enam sekeluarga etnik Rohingya termasuk seorang ibu hamil, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, Johor atas 17 pertuduhan pecah masuk, menyimpan barang curi dan kesalahan imigresen di Kota Tinggi dan Mersing, antara Mei hingga September lalu.
Tertuduh, Nurjahan Ismail, 34 tahun, suaminya, Muhammad Ibrahim Md Yusof, 24 tahun, menantunya Mohamad Jamal, 19 tahun serta tiga lagi anak perempuan membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Mengikut kertas pertuduhan, Nurjahan Ismail berdepan 13 pertuduhan, iaitu sembilan pertuduhan simpan harta curi, tiga pertuduhan pecah rumah dan satu pertuduhan masuk rumah tanpa kebenaran.
Suaminya, Muhammad Ibrahim Md Yusof pula didakwa atas lapan pertuduhan simpan harta curi, dan tiga pertuduhan pecah rumah, manakala Mohamad Jamal dan tiga anak perempuan berusia antara 13 hingga 17 tahun didakwa memasuki negara tanpa pas sah.
Kesemua kesalahan dilakukan antara 7 Mei hingga 25 September lalu.
Tiada jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh, dan mahkamah menetapkan 14 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong, mengikut Kanun Keseksaan, dan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Kesemua tertuduh diwakili Peguam L. Mehnagha.