TENOM, 28 Ogos - Seorang wanita hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew ada bercerita kepadanya tentang kemahuan seksualnya yang tidak dapat dipenuhi oleh isteri.
Wanita berusia 40-an itu selaku saksi kesembilan pendakwaan yang juga pengadu kes itu berkata perkara itu diceritakan Lew kepadanya dalam satu panggilan video berdurasi 44 minit sembilan saat pada 20 Mei 2021.
Dia juga menafikan ada berkongsi sesuatu yang intim mengenai dirinya kepada Lew sepanjang tempoh panggilan video itu dan tidak membuat apa-apa rakaman.
Pengadu juga bersetuju dengan soalan peguam Lew, Datuk Ram Singh semasa pemeriksaan balas bahawa saksi secara sukarela mengambil bahagian dalam panggilan video tersebut.
Pengadu berkata dia merasakan Lew telah merosakkan dirinya dengan memperdayakannya secara halus sehingga terikut-ikut dengan kemahuan tertuduh.
Wanita itu juga menafikan mahu melakukan hubungan intim dengan tertuduh.
Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani disambung esok. - BERNAMA
BERITA BERKAITAN
- Buat laporan polis untuk hentikan perbuatan Ebit Lew - Saksi
- Saksi dedah Ebit Lew hantar 70 mesej berunsur lucah dalam tempoh lebih satu jam
- Saksi tolak panggilan video daripada Ebit Lew
- 90 gambar dipercayai unsur lucah, ditemukan dalam data telefon bimbit Ebit Lew - Saksi
- Saksi kali pertama lihat gambar lucah didakwa dihantar pengadu kepada Ebit Lew
- Bicara Ebit Lew: Polis rampas telefon bimbit Firdaus Wong
- Ebit Lew didakwa atas 11 pertuduhan gangguan seksual