KEMAMAN, 9 September - Dua pelajar lelaki sebuah kolej vokasional di daerah ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini atas pertuduhan mencederakan rakan kolej mereka pada Mei lalu.
Pengakuan dibuat secara berasingan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun yang juga pelajar tingkatan lima didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa, rakan sebaya mereka, dengan menumbuk badan dan menyepak kaki.
Seorang lagi tertuduh turut didakwa mencederakan mangsa sama dengan cara menyepak punggung.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 27 Mei lalu, di koridor bilik asrama kolej terbabit.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Oktober depan bagi jatuh hukum serta laporan akhlak.
Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi mengendalikan kes, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Farhana Shamsudin.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon jaminan RM2,000 setiap tertuduh, namun peguam merayu agar dikurangkan dengan alasan tertuduh masih bersekolah, selain keluarga mereka mempunyai tanggungan lain termasuk ahli keluarga yang sakit.