KEMAMAN, 8 Ogos - Enam pelajar sebuah sekolah menengah agama bantuan kerajaan direman selama tiga hari hingga Ahad ini, bagi membantu siasatan kes pukul dan buli terhadap seorang pelajar lelaki tingkatan tiga hujung bulan lalu.
Perintah tahanan reman terhadap kesemua pelajar tingkatan empat itu bermula hari ini hingga Ahad dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan kesemua suspek berusia 16 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi 7 Ogos (semalam) selepas hadir di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bagi membantu siasatan.
Menurut Superintenden Mohd. Razi, mangsa berusia 15 tahun itu mendakwa dibuli dan dipukul di dalam bilik asrama oleh kesemua suspek terbabit kira-kira jam 1.30 pagi pada 30 Julai lalu di hadapan beberapa pelajar lain.
Dalam kejadian itu, pengadu mendakwa telah mengalami kecederaan ringan pada bahagian badan.
Sehubungan itu, pengadu telah tampil membuat laporan polis pada 3 Ogos sebelum kesemua suspek terbabit ditahan semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.